Jumaat, Julai 09, 2010

Ketika beliau memimpin PPPMM

Arwah abah radin amir adalah salah seorang presiden persatuan pengusaha percetakan melayu malaysia yang sangat berkharisma pada suatu ketika dahulu dan meninggalkan kepimpinannya pada tahun 2010 ini. Suatu kehilangan didalam arena percetakan tanah air..

Serba sedikit cerita mengenai PPPMM

Sejarah PPPMM

Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) telah didaftarkan pada 22hb Jun 1975. Penubuhannya adalah agak tergesa-gesa apabila saudara Ahmad Nordin dari Dany Press Sdn. Bhd. dipanggil oleh Encik Abdul Rashid Abdullah pada masa itu Setiausaha Kerja Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia supaya pencetak-pencetak Melayu menubuhkan satu persatuan. Ini adalah kehendak Yang DiPertua DPPPMM pada masa itu, YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Masa yang diberikan adalah terlalu singkat untuk menubuhkan satu-satu persatuan. Ia tidak boleh diperlengahkan lagi ketika itu memandangkan pembukaan rasminya telah ditetapkan oleh DPPPMM iaitu pada 3hb September 1975.

Oleh kerana pentingnya pengusaha percetakan Melayu berpersatuan, satu Jawatankuasa Penaja telah diwujudkan. Mereka terdiri daripada :


* Saudara Ahmad Nordin Haji Ahmad Amin (Dany Press Sdn. Bhd.)
* Saudara Radin Amir Radin Suhaidi (Utusan Melayu - Jobbing Department)
* Saudara Zulfadzli Mohd. Yusof (Percetakan Trading)
* Saudara Ibrahim Medan (Bahagia Trading)
* Saudara Hamid Bendahara (Percetakan Bendahara)
* Tuan Syed Mansor Syed Mahmud (Penerbitan Adabi)



Sebagai panduan untuk menubuhkan PPPMM, Jawatankuasa Penaja telah meneliti dan mengkaji Perlembagaan DPPPMM yang kemudiannya diedit, diubahsuai dan dibuang tambah mana yang perlu untuk dijadikan Perlembagaan DPPPMM. Dengan sebab itu maka terdapat kelemahan di dalam perlembagaan yang diguna pakai buat beberapa waktu oleh PPPMM. Alhamdullilah sekarang sesuai dengan peredaran dan perkembangan semasa ianya telahpun dikemaskini sebagai panduan perjuangan PPPMM.

Di dalam proses penubuhan PPPMM, Jawatankuasa Penaja telah mengadakan beberapa mesyuarat penting untuk menentukan ianya berjalan lancar dan sempurna serta dapat ditubuhkan sebelum tarikh perasmiannya. Di antara yang diperbincangkan. sesuai dengan kehendak perlembagaan ialah siapa yang akan menerajui PPPMM. Saudara Zulfadzli Mohd. Yusof dari Percetakan Harian berpendapat orang yang paling sesuai dan layak pada waktu itu ialah Saudara Sanusi Junid (Sekarang Datuk Seri). Pada masa itu, Saudara Sanusi Junid bertugas di Chartered Bank (Sekarang The Standard Chartered Bank). Selain mempelbagaikan kegiatan-kegiatan perniagaannya termasuklah bidang percetakan yang dimiliki 100% Shamelin ialah Percetakan Sarina Sdn. Bhd.. Pendapat Saudara Zulfadzli dan berpandukan lain-lain faktor, telah dipersetujui sebulat suara

Bagi menyampaikan hasrat mencalonkan Saudara Sanusi Junid bertanding jawatan Yang DiPertua PPPMM maka 3 orang telah dilantik untuk menemui beliau. Mereka terdiri dari :

* Saudara Zulfadzli Mohd. Yusof
* Saudara Ahmad Nordin Haji Mohd. Amin
* Tuan Syed Mansor Syed Mahmud


Seperti yang diduga beliau menolak sama sekali pencalonan itu dan juga lain-lain pencalonan. Pada pendapat beliau, beliau adalah orang baru di arena percetakan beliau percaya masih ramai orang yang lebih layak, dan berkemampuan untuk menerajui PPPMM. "Biaq' oghang oghang yang lama dok dalam Jawatankuasa baghu la betoi, hampa ni mengaghut dan Zul ni ghumbu, boh saya kat situ baghu la celaghu habih." Walaupun beliau menolak kesemua pencalonan, beliau berjanji akan tetap bersama memberi sokongan dan bantuan bila perlu - dari segi moral mahupun material. Siapa yang akan dipilih menerajui PPPMM tidak begitu penting, yang penting PPPMM mesti diwujudkan dan digerakkan secepat mungkin. Beliau tetap menolak untuk dicalonkan.

Setelah mengemukakan sebab mustabab dan keterangan yang lebih lanjut berkenaan dengan matlamat PPPMM dimana ianya memerlukan mereka yang betul-betul sedar akan keadaan ekonomi orang-orang Melayu dan sangggup berkelahi. Tiga orang wakil telah mencabar Saudara Sanusi Junid untuk bertanding. Beliau menerima cabaran itu dan menerima pencalonan tersebut.

Sebagaimana yang ditetapkan pada 3hb September 1975, PPPMM selamat ditubuhkan dan telah dirasmikan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Bangunan Mara. Majlis berjalan begitu lancar dengan bantuan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia.

Di dalam mesyuarat tersebut Saudari Sanusi Junid dipilih dengan sebulat suara bagi Jawatan Yang DiPertua Persatuan Pencetak-Pencetak Melayu Malaysia dan menjadi Yang DiPertua PPPMM dengan lantangnya. Beliau menyentuh beberapa aspek penting dengan berani dan mendapat sambutan dan tepukan gemuruh. Semua ahli yang hadir berpendapat mereka telah memilih seorang Yang DiPertua yang tepat untuk membimbing mereka. Mereka penuh yakin.

Tiap-tiap yang bermula pasti berakhir. Begitu juga dengan Saudara Sanusi Junid. Sesuai dengan watak dan minat beliau, beliau telah mencebur diri dalam bidang politik senantiasa menagih waktu dan masanya dengan kepercayaan "Patah tumbuh hilang berganti" beliau telah melepaskan jawatan Yang DiPertua PPPMM pada tahun 1977. Semua ahli berasa sedih dengan perpisahan itu.

Sewaktu kepimpinan Saudara Sanusi Junid beliau telah banyak berkorban dalam semua segi untuk faedah PPPMM. Beliau menyedari yang semua ahli PPPMM pada masa itu adalah daif. Pejabat beliau di Chartered Bank telah menjadi Pejabat PPPMM. Setiausaha beliau menjadi Setiausaha PPPMM. Perjalanan dan keperluan mesyuarat semua diurus dan dibiayai oleh beliau. Banyak wang dan masa telah beliau korbankan untuk meletakkan PPPMM yang ada pada hari ini. Namun demikian beliau tidak pernah merungut dan kesal.

Dalam kesibukan beliau dengan lain-lain tanggungjawab beliau telah memecah satu benteng di Dewan Bahasa dan Pustaka yang sebelumnya semua buku-buku terbitan DBP dicetak oleh percetakan bukan Melayu. Beliau berpendapat DBP adalah sumber rezeki bagi orang-orang Melayu dan mesti sampai kepada yang hak. Satu dialog telah diadakan di antara DBP dengan PPPMM dan berjalan dengan cukup berkesan. Sebahagian ahli yang mendapat faedah mencetak buku-buku terbitan DBP pada hari ini adalah hasil pergerakan permulaan dari beliau. Sebelum beliau meninggalkan PPPMM beliau telah menanamkan sikap supaya sayangkan bangsa, berjuang dengan penuh semangat yang kuat dan penuh azam, memusnahkan petualang-petualang yang cuba menyekat ekonomi orang-orang Melayu. Beliau telah merentas jalan dan memberi laluan yang agak mudah untuk generasi yang akan datang. Dengan doa beliau mengundur diri.

Pengunduran beliau telah diganti oleh Saudara Radin Amir Radin Suhadi. Perjuangan Saudara Sanusi telah disambung oleh Saudara Radin Amir dengn lebih hebat lagi. Semangat dan rasa cinta yang ditinggalkan oleh Yang DiPertua dahulu bagi Saudara Radin Amir adalah satu amanah yang tidak boleh dipandang ringan dan diabaikan begitu sahaja. Beliau dengan dibantu oleh beberapa AJK telah bergerak dengan begitu berkesan menuntut hak di bidang percetakan untuk kepentingan semua ahli. Di bawah kepimpinan beliau maka keluarlah pekeliling arahan Perbendaharaan 20/81 yang membolehkan Jabatan-Jabatan Kerajaan mencetak keperluan mereka hanya dengan menggunakan pencetak-pencetak Melayu sahaja. Bagi PPPMM, ini adalah satu kejayaan besar.

Dengan keluarnya Arahan Perbendaharaan itu, seperti yang dijangka ianya meledak seperti 'bom' bagi sesetengah golongan. Ianya meledak begitu hebat sekali. Saudara Radin Amir dan semua Ahli Jawatankuasa menghadapi cabaran dengan tenang segala ugutan dan tohmahan yang diajukan. Bagi saudara Radin Amir perjuangkan PPPMM untuk kepentingan ahlinya belum berakhir. Beliau akan terus berjuang. Berkat sokongan yang padu daripada ahli dan bantuan dari lain-lain pihak ianya akan berhasil.
InsyaAllah.

"Kalau mati biar terpacak", sepatah kata Saudara Sanusi Junid semasa beliau menjadi Yang DiPertua PPPMM


Presiden-Presiden PPPMM



1975 - 1980 Sanusi Junid
1981 - 1986 Radin Amir Radin Suhaidi
1987 - 1991 Ahmad Nordin Haji Ahmad Amin
1992 - 1994 Dato' Redzuan Hamid
1995 - 2000 Usamah Haji Yusof
2001 - 2002 Hashim Harun
2003 - 2006 Haji Badruddin Haji Abu Bakar
2007 - 2010 Radin Amir Radin Suhaidi

PPPMM Website